Tronoh, 22 Januari 09 - Telah diadakan suatu sesi temuduga untuk merekrut AJK-AJK baru Badan Rakan Masjid (RM) Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) (RMUTP). Sesi ini berlangsung dua hari, iaitu pada 20 Januari 2009 yakni Selasa lalu dan kemudiannya pada hari ini.
Badan Rakan Masjid UTP ini bernaung dibawah Unit Pentadbiran Masjid An-Nur UTP. Ia telah ditubuhkan pada beberapa tahun yang lalu. Ia berfungsi sebagai badan pelajar yang bertanggungjawab mengimarahkan masjid seperti melakukan aktiviti-aktiviti seperti iftar, sukan, ceramah dan banyak lagi. Maklumat lanjut berkenaan badan pelajar ini boleh didapati di www.rakanmasjid.com.
Pada malam 22 januari 2009 lalu, temuduga untuk merekrut AJK-AJK baru telah diadakan dengan jayanya di sebuah dewan di UTP yang bernama Multi Purpose Hall (MPH). Semua departmen atau Lajnah dalam RMUTP terlibat dengan sesi ini. Antaranya termasuk, HELWI, Lajnah Rekreasi, Kesenian dan Kebudayaan dan banyak lagi. Sambutan terhadap sesi interview itu sungguh memberangsangkan, hampir 150 pelajar telah hadir ke sesi itu untuk membuktikan mereka layak untuk mendokong Risalah Islam yang dibawa oleh Rakan Masjid.
Sehubungan dengan itu seorang pelajar UTP, Saudara Mohd Hakim Mohd Nor selaku Presiden Rakan Masjid bagi saff kepimpinan sessi 08/09 ini berkata “Alhamdulillah, pelajar-pelajar yang hadir ke sesi temuduga ini mampu memberi hujjah berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah”. “Sesi interview kali ini, kita menerima sambutan yang memberangsangkan dari pelajar-pelajar internasional” ujar beliau lagi. Selain itu beliau juga melihat “pada sesi temuduga kali ini, pihak Rakan Masjid menerima kehadiran daripada pelajar UTP yang mempunyai pelbagai latarbelakang, hatta ada yang tidak tahu solat sekalipun, kami menerima sesiapa sahaja asalkan individu tersebut beragama Islam dan bergelar seorang pelajar UTP”. Beliau berkata lagi, “soalan-soalan interview kali ini lebih kepada bersifat mendidik, agar AJK-AJK yang baru masuk nanti adalah mereka yang dapat berfikir dengan bijak”.
Selain daripada itu, satu sayap baru khas bagi mahasiswi di UTP, telah diwujudkan pada tenure kepimpinan kali ini, Hal Ehwal Siswi yang dikenali dengan singktan nama HELWI. Pengerusinya Saudari Nur Sa'adiah Yusof, seorang pelajar UTP, kini berada di tahun akhir, semester akhir, berpendapat “Alhamdulillah, HELWI mendapat sambutan yang baik” ujar beliau, walaupun HELWI baru sahaja diwujudkan pada sesi kepimpinan RMUTP kali ini. “Para mahasiswi yang hadir ditapis dengan tapisan Allah, mereka yang hadir terdiri daripada pelbagai kebolehan, ada yang pandai berpidato, memasak, sukan, perkomputeran dan banyak lagi” katanya lagi.
Saudari Nur Saadiah, Pengerusi HELWI RMUTP juga menyatakan harapannya terhadap HELWI ini dan terhadap mahasiswi Islam di kampus UTP tercinta bahawa “Saya berharap HELWI akan terus membawa dengan jayanya agenda Membina Bi’ah Solehah. HELWI selepas ini akan mengadakan suatu program yang melibatkan banyak lagi kampus-kampus luar didalam program-programnya. Saya juga berharap kepada sekalian mahasiswi di UTP agar berubah menjadi lebih baik dari pelbagai segi, contohnya, pergaulan, pemakaian dan lain-lain. Saya juga berharap agar mahasiswi Islam akan menjadi salah seorang yang akan menerima, sama ada Chanselor Award atau Rector Award menjelang hari konvokesyen Ogos nanti”, ujar beliau dengan cukup bersemangat.
Sebagai konklusi, secara keseluruhan sesi temuduga untuk merekrut AJK-AJK baru RMUTP ini berjalan dengan lancar dan harmoni dengan keizinan dariNya. Diharapkan RMUTP akan terus maju mengorak langkah dalam membantu Unit Pentadbiran Masjid An-Nur UTP dan dalam menyampaikan Risalah Islam dibumi UTP sebagai salah satu kewajipan atau antara fungsi utama sesebuah institusi masjid dimana jua ia berada di dunia ini. Wallohu’alam – aks_
--
Penulis : Sdr. Ahmad Khabir Bin Shuhaimi (019-4610970; ahmadkhabir@gmail.com)
Editor : Sdr. Amir Zairi
Jumaat | 23 Jan 09 | 2.38am Malaysia