Showing posts with label Hiburan. Show all posts
Showing posts with label Hiburan. Show all posts

Kenyataan Rasmi Presiden Rakan Masjid : Konsert Euphonius


Sumber: Blog Presiden Rakan Masjid: http://akramismail.blogspot.com/2010/04/kenyataan-rasmi-presiden-rakan-masjid.html


Kenyataan Rasmi Presiden Rakan Masjid : Konsert Euphonius

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

"Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya, Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk"
An-Nahlu:125

Banyak persoalan timbul dari pelbagai pihak tentang apa tindakan daripada pihak Rakan Masjid terhadap penganjuran konsert Euphonius yang akan berlangsung pada 24 April 2010. Saya menerima banyak emel, malah ada juga yang menuduh Rakan Masjid (RM) tanpa asas yang kukuh.

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang memberi reaksi dan saya raikan setiap pendapat yang diberikan.Saya mengambil ruang dan peluang ini untuk memberi sedikit penjelasan.

Sebelum itu, bagi saya, reaksi ‘ingin tahu’ daripada pelbagai pihak adalah satu petanda positif. Ia menunjukkan mahasiswa peka dengan apa yang terjadi disekitar mereka. Ia menunjukkan RM masih relevan pada pandangan mahasiswa kerana mahasiswa menanti-nanti apa ‘stand’ ataupun tindakan daripada RM terhadap penganjuran program Euphonius yang dilihat seolah-olah musuh tradisi RM sebelum ini.

RM sebagai sebuah badan pelajar Islam, tetap komited dengan gerak kerja dakwah amar makruf nahi mungkar. 2 elemen itu tidak dapat dipisahkan sama sekali. Misi kami adalah ke arah membina bi’ah solehah.

Perlu dijelaskan disini, RM bukanlah penghukum. Kami akan cuba menggunakan pelbagai alternatif dan metode dakwah dalam menyampaikan keindahan Islam. RM sangat menghormati dan meraikan populasi mahasiswa UTP yang pelbagai latar belakang. Malahan, kami sangat terbuka menerima teguran dan kritikan daripada semua pihak bagi memastikan gerak kerja kami diperbaiki dari semasa ke semasa.

Jika dilihat, bukan penganjuran Konsert Euphonius sahaja, malahan pada semester ini sahaja, terdapat 7 penganjuran program berbentuk hiburan yang tidak melambangkan kebudayaan intelektual dan nilai-nilai Islam. Saya agak terkilan dengan penglibatan mahasiswa Islam yang tidak kurang ramainya dalam program seumpama ini.

Ringkasnya, berkenaan dengan Konsert Euphonius, setelah melihat dari sudut pandang intelektual dan agama, ia adalah satu penganjuran program yang banyak memberi mudharat kepada mahasiswa UTP, khususnya kepada yang muslim.

Justeru itu, saya mewakili pihak RM telah mengambil inisiatif bertemu dan menyampaikan memorandum menyuarakan rasa keberatan dengan penganjuran konsert Euphonius ke-10 kepada Tuan Haji Mohamed Noor Rosli bin Baharom, Director Student Services.




Pertemuan ini dibuat pada 13 April 2010 pada jam 12.00 tengah hari dibiliknya. Memorandum ini saya lampirkan dibawah. Memorandum ini akan disampaikan kepada Tuan Rektor, Dato’ Dr Zainal Abidin bin Hj Kasim melalui Tuan Haji Mohd Noor Rosli sendiri.

Alhamdulillah, memorandum ini diterima dengan baik dan mendapat respon positif daripada Tuan Haji. Diharapkan memorandum ini mendapat perhatian yang kritikal daripada pihak pengurusan UTP.

Saya yakin dan percaya, suara seperti ini bukanlah datang daripada RM semata-mata. Sepatutnya itu yang berlaku. Bebanan dakwah bukan terletak pada RM sahaja, malah kepada setiap individu muslim. Saya agak terkilan dengan beberapa pihak yang cuba mengambil jalan tengah, berdiam diri malah lebih teruk bersuara mengkritik RM.

Selain daripada memorandum ini, RM dan beberapa orang sukarelawan daripada pelajar tahun akhir akan berusaha membuat inisiatif lain seperti Roadshow Café dan XPDC Dakwah dalam memberi kefahaman kepada orang ramai konsep sebenar hiburan dalam Islam. Kemungkinan, saya juga akan membuat sekali lagi perjumpaan dengan jawatankuasa penganjur Euphonius dan pesertanya seperti mana dibuat pada semester lepas bertemu dengan jawatankuasa penganjur Talent Search.

Sebelum akhir kalam, saya ingin menjelaskan satu lagi perkara berkenaan dengan Konsert Kembara Sufi. Ya, RM mempromosikan Konsert Kembara Sufi habis-habisan bukan bermakna melawan promosi Konsert Euphonius. Tarikh kedua-dua konsert ini berdekatan, bukan bertembung. Mahasiswa berhak memilih untuk hadir yang mana, malah memilih untuk hadirkan diri kedua-dua konsert pun boleh, tiada salahnya, itu hak anda.

Tetapi, kami di pihak RM, berharap agar mahasiswa dapat berfikir dan membuka minda perihal alternatif hiburan yang disediakan. Konsert mana yang mengikuti kriteria yang digariskan dalam Islam. Kami sangat menghormati hak semua orang yang meminati hiburan. Hiburan itu tidak salah. Di dalam Islam ia dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu seperti dalam lampiran yang saya lampirkan juga sekali.

Sudah sampai masanya untuk kita wujudkan budaya intelektual yang kritikal di kampus. Penerapan budaya hiburan seperti ini tidak memberi nilai tambah kepada pihak universiti. RM melihat ini sebagai satu agenda tersembunyi daripada pihak tertentu untuk menyerap masuk ke kampus bagi merosakkan nilai intelektualitas mahasiswa UTP yang dilabel ‘cream of the cream’. Agenda ini dilihat selari dengan agenda pihak zionis dalam melemahkan umat Islam. Fikirkanlah.

Satu lagi, saya optimis, desakan seperti ini mampu memberi perubahan pada masa hadapan. Lihat sahaja penganjuran Konsert Jom Heboh TV3, berjaya dilaksanakan di negeri Kelantan, dengan mengikut syarat yang telah ditetapkan. Jelas di depan mata, model yang sepatutnya dicontohi oleh penganjur program hiburan di kampus ini.


KOTA BHARU, 28 Mac – Penganjur Konsert Jom Heboh yang berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, di sini malam tadi mengotakan janji untuk mematuhi syarat dikenakan kerajaan negeri, antaranya pengasingan tempat duduk antara penonton lelaki dan perempuan.


Selain itu hanya artis lelaki – tiada artis perempuan sebagaimana lazimnya – yang membuat persembahan pada konsert Jom Heboh pertama selepas pelancaran di Stadium Bukit Jalil hujung Februari lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Media Prima, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan, pihaknya bercadang untuk menjadikan konsert Jom Heboh di Kota Bharu sebagai model bagi konsert seterusnya di negeri-negeri lain bermula di Johor Bahru selepas ini.


Sambil melahirkan rasa kagumnya di atas sambutan amat menggalakkan Ahmad Farid secara jujur mengakui Kelantan adalah negeri yang begitu berjaya bagi penganjuran program Jom Heboh selama dua hari bermula 26 hingga 27 Mac.


“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz serta kakitangan kerajaan negeri yang begitu mesra dalam memberi kerjasama kepada kami dalam menjayakan program ini untuk kali pertama di Kelantan dan Insya-Allah ia akan diadakan pada setiap tahun di sini sekiranya mendapat kelulusan pihak kerajaan negeri,” katanya.


Menurut beliau, TV3 selaku penganjur program Jom Heboh tiada masalah untuk memenuhi syarat dikenakan kerajaan negeri mengikut Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan 1998 termasuk pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita serta tiada persembahan melibatkan artis wanita.


“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.. kita akur akan syarat dikenakan.. begitu juga Baginda Tengku Mahkota Kelantan yang berangkat pada hari pertama program (Jumaat).. Baginda sangat gembira melihat rakyat negeri ini mengambil kesempatan membawa bersama keluarga masing-masing khasnya bagi mengikuti program Al-Kulliyyah.


“Saya juga ingin memohon maaf kepada kerajaan Kelantan sekiranya selama dua hari Jom Heboh berada di Kelantan ada sedikit sebanyak kekurangan yang berlaku dan ia akan ditingkatkan pada masa akan datang.
“Saya lihat penonton begitu gembira hadir ke konsert ini walaupun mereka di bahagikan kepada tiga tempat yang dihalang dengan pagar besi di antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui sejurus konsert berakhir malam tadi.


Dianggarkan lebih 50,000 penonton, kebanyakannya golongan muda mudi membanjiri segenap ruang Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh yang pertama kali berlangsung di negeri ini.
Antara artis yang mengadakan persembahan malam tadi termasuk Kumpulan Raihan, Yassin (bekas anggota kumpulan nasyid Brothersa), Jamal Abdillah, Jay Jay dan artis dikir barat tersohor negeri ini, Megat Nordin.

Saya rasa sekadar itu sahaja. Wallahuallam.

Muhammad Akram bin Ismail
Presiden
Rakan Masjid 2009/2010
Universiti Teknologi Petronas

15 April 2010



Sila klik pada link untuk melihat memorandum

http://akramismail.blogspot.com/2010/04/kenyataan-rasmi-presiden-rakan-masjid.html


GARIS PANDUAN HIBURAN DALAM ISLAM 
1. TUJUAN
Garis Panduan Hiburan Dalam Islam ini disediakan untuk memberi panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan merangkumi nyanyian, muzik, tarian dan lain-lain. Garis Panduan ini juga akan dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat awam yang menyertai persembahan rancangan hiburan.
2. PENDAHULUAN
2.1. Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:
“Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)
Berdasarkan Hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyianHiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273).
2.2 Dalam membincang isu ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:
a) Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat[1], tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah[2] adalah harus;
b) Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;
c) Pancaragam yang melalaikan[3] hukumnya haram;
d) Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan
e) Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.
3. KANDUNGAN GARIS PANDUAN
3.1 Garis panduan ini mengandungi perkara-perkara berikut:
3.1.1 Takrif
3.1.2 Program Hiburan
3.1.3 Persembahan Muzik
3.1.4 Lirik Lagu
3.1.5 Persembahan Artis
3.1.6 Persembahan Tarian
3.1.7 Tanggungjawab Penganjur
3.1.8 Kesimpulan
3.2 Takrif
3.2.1 Hiburan
          Maksud hiburan ialah sesuatu (perbuatan, benda dll) untuk menghiburkan (menyenangkan, mententeramkan) hati. (Kamus Dewan).
3.2.2 Nyanyian
                  Maksud nyanyian ialah gubahan muzik yang dilagukan dengan suara. (Kamus Dewan).
3.2.3 Muzik
Maksud muzik ialah gubahan bunyi untuk memperoleh keindahan bentuk dan pernyataan perasaan. (Kamus Dewan).
3.2.4 Tarian
Maksud tarian ialah gerakan badan serta tangan dan kaki berirama mengikut rentak muzik. (Kamus Dewan).
4. GARIS PANDUAN
Garis panduan yang memisahkan sama ada hiburan itu boleh atau sebaliknya menurut Islam adalah sejauh mana hiburan tersebut mencapai maksud dan prinsip Islam yang menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia. Antara garis panduan tersebut adalah seperti berikut;
a) Program Hiburan
i. Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.
ii. Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai.
iii. Mengambilkira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam.
iv. Tidak disertai oleh perbuatan-perbuatan haram atau maksiat.
v. Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.
vi. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
b) Persembahan Muzik
i. Tidak menimbulkan gerakgeri liar.
ii. Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.
iii. Tidak melalaikan.
c) Lirik
i. Kalimah syahadah dalam bahasa Arab hendaklah disempurnakan.
ii. Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak, dan memberi perangsang melakukan dosa.
iii. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.
iv. Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.
v. Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.
vi. Tidak mengandungi unsur mengutuk nasib dan lucah.
vii. Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.
viii. Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.
d) Persembahan Artis
i. Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.
ii. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
iii. Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.
iv. Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.
e) Persembahan Tarian
i. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
ii. Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.
iii. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.
iv. Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.
v. Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.
f) Tanggungjawab Penganjur
Penganjur hendaklah mempastikan acara hiburan yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah disediakan.
5. Kesimpulan
Garis Panduan ini diharap memberikan panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan. Ia juga dijadikan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang dapat mengamal dan menikmati hiburan berteraskan nilai-nilai akhlak dan syariat Islam.
RUJUKAN
1. Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Wizaratul Auqaf Wa al- Syu’un al-Islamiah,Cetakan Pertama, 1995, Kuwait.
2. Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran, Syeikh Abdullah bin Mohamad Basmeih, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
3. Al-Halal wa al- Haram fi al-Islam, Syeikh Yusuf al-Qardhawi, al-Maktab al-Islami, Cetakan ke-15, Beirut 1994.
4. Kamus Dewan, Edisi Baru, Dewan Bahasa dan PustakaKuala Lumpur, 1991.
5. Garis Panduan Muzik, Nyanyian dan Seni Menurut Pandangan Islam, Bahagian Penyelidikan, JAKIM.
6. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981.
7. Garis Panduan Penyiaran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

[1] Sesuatu perbuatan yang haram (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)
[2] Cubaan, gangguan, hasutan dan kekacauan (Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran)
[3] Perkataan dan sebagainya yang tidak mendatangkan hasil serta tidak memberi faedah dan manfaat . (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)
Tarikh :   14 Januari 2009
Sumber : Pengarah Bahagian
Editor : PRO JAKIM
Hits :  15141

http://www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=3710

Imam Al-Banna berkata tentang tsabat:

“Hendaknya seorang akh. Menjadi orang yang aktif dan selalu berjuang di jalan menuju Nya; sekalipun masa yang ditempuh masih panjang hingga bertahun-tahun dan berabad-abad lamanya; sehingga dirinya berjumpa dengan Allah dalam kondisi demikian sedangkan ia mendapatkan keberuntungan pada salah satu dari dua kebaikan; mencapai tujuan yang diinginkan atau mendapat syahadah hingga akhir.

Allah berfirman: “Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; Maka di antara mereka ada yang gugur. dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya)”. (Al-Ahzab:23)

Menurut kita, waktu ini akan sentiasa berjalan, walaupn jalan sangat panjang, kejayaan masih jauh dan banyak rintangan menghadang, namun intinya adalah bagaimana kita dapat menuju satu tujuan disertai dengan ganjaran yang besar dan pahala yang berlipat ganda dari ALLAH, maka tidak ada kata henti dari PERJUANGAN ayuh terus kita merobohkan benmteng kezaliman”.